Monday, January 10, 2011

Muslimah Qolbi~

jihad diri...  

  Aku tak tahu siapa dia ketika itu. Tapi melihat dan merenung wajahnya  walaupun sesaat telah mendatangkan selaut sakinah ke dalam diri. Orangnya sederhana sahaja, dengan jilbab labuh paras pinggang, dan sekali-sekala jubah warna polos membaluti tubuh kecilnya; tidak menarik. Tidak mengikut arus peredaran fesyen masa kini . Gelora fesyen millenia yang menggila tidak dapat menggugah caranya. Tapi dia tetap menarik perhatianku. Senyumnya, lembut bicara yang terlontar dari dua ulas bibir yang merah itu, cahaya dari matanya yang bundar… Ah, pendek kata segala yang ada pada dirinya mampu meraih segenap tumpuan pancainderaku.

  Perkenalan kami berlaku secara tidak sengaja. Benarlah segala yang dirancang Rabb itu amat indah susun aturnya. Ketika itu, seawal jam 7.40 pagi. Langit tika itu masih kelam. Mentari belum mahu bangun dari kamar beradu, sejuk masih menggigit-gigit. Ketika itu, aku resah dengan kelewatan bas yang tak sampai-sampai, sedangkan tuntutan masa begitu menekan. Ketika itulah, dia muncul dari hujung jalan. Matanya yang bercahaya, wajah bersih, dan secangkir senyum pendeknya menyapa aku dengan ramah tanpa suara. Di tangannya terkejap Tafsir Fi Zilalil Quran, karangan Syeikh Sayyid al Qutb. Dia langsung duduk, tekun mengulit satu demi satu helaian. 

  Bila bas buruk berbelang hijau kuning itu sampai, kami menaikinya dan kemudian duduk sebelah-menyebelah. Aku menyapa dengan senyum pendek. Dia menyambut dengan salam, menggelar dirinya Assyaheeda, langsung bertanya mengenai diriku. Sejak itulah aku mula mengenalinya, sedang seolahnya kami sudah berabad lamanya menjalin ukhuwah di taman mardhotillah.

  Assyaheeda, bakal doktor perubatan, tahun ketiga di Universiti Mujahadah Malaysia ini; UMM. Malu aku sendiri, sedang aku yang bakal bergelar ustazah tidak lama lagi pun tak sealim dia. Ilmunya benar-benar mengagumkan aku. Semangatnya mencari ilmu mencemaskan aku. Hujahnya mengasak-ngasak minda picikku. 

Dia hebat! Sempurna! Muslimah sejati, harapan ummat.

  Aku mahu bercerita tentang kehidupan sehari-hariannya. Benar aku bukan sekamar dengannya (*kalaulah aku dapat memohon dari dahulu)., tapi sejak hati kami bertaut di laman ukhuwwah, aku kerap berkunjung ke kamarnya. Bukankah menatap wajahnya sahaja sudah mendatangkan sejuta sakinah? Masakan aku dapat membiarkan gedung ilmu itu terbiar tanpa soalan-soalan “bodoh”ku? (*Sabarnya dia melayan kerenahku yang serba-serbi jahil ini, dengan soalan maha mengarut, dengan senyuman dan lembut bicara yang mendamaikan jiwa. Walau seribu kali soalan itu kutanya!)

  Kata kak Wani, Assyaheeda bangun seawal 4.00 pagi, tika masih ramai diulit mimpi. Kata Kak Wani, dia sedar langkah-langkah yang berderap lembut dan berhati-hati kepunyaan sahabatku itu akan menuju ke musolla di tingkat satu. Bila pulang sahaja, pasti tersisa jernih air di pipi mulus miliknya. Dia akan duduk di meja studynya, khusyuk menadah doa, sebelum meneruskan pembacaan buku-buku perubatan yang bertimbun di atas meja.

  Kata kak Wani lagi, Assyaheeda tak pernah berenggang dengan sebuah buku kecil berbalut biru miliknya. (*Aku sedar kehadiran buku kecil yang istimewa itu.) Bila marah, pipinya akan memerah, sedang wajahnya sebenarnya berseri dengan warna itu, kerana itu sekali-sekala aku menyeru namanya dengan panggilan Humayrah. Dia tak pernah sekali-kali meninggikan suaranya.( Dia selalu mengingatkan aku; seburuk-buruk suara adalah seperti suara keldai). Bila sendiri, atau semasa kami berjalan-jalan, jika kesepian tiba-tiba mencengkam, aku selalu perhatikan dua ulas bibirnya itu terkumat-kamit, bersulam dengan nafas lembutnya.

  Misterinya sahabat yang kukasihi ini, sehari bersamanya bagaikan sejam sahaja yang berlalu. Namun sejak akhir-akhir ini, aku lihat dia seolah-olah dirundung hiba yang cuba disembunyikan dalam tawa halusnya. Sesekali aku perasan ada air yang bergenang di sudut matanya yang bundar itu. Bila ditanya, dia akan membalas dengan gurauan yang menyenangkan hati. Lalu soalan aku akan berlalu sepi.

  Waktu itu, kami seluruh warga kampus sibuk dengan persiapan peperiksaan akhir tahun. Aku pula tiba-tiba dibeban taklifan yang tak putus-putus. Program kampus bertali arus. Lalu kami hampir tak bertemu sepanjang minggu, sedang hatiku dicengkam rindu.
Ketika berita itu sampai kepadaku, aku jatuh dan tak sedarkan diri berhari-hari lamanya. Bila aku sedar dari pengsan, aku ingin sahaja terus pitam dan tidak lagi bangun-bangun. Seolahnya kekuatanku diragut pergi dengan pemergian Assyaheeda. Jika tidak kerana tarbiyah sahabatku itu, dan ingatanku kepada tazkirah-tazkirah yang sering menghiasi hari-hari indah kami, aku pasti aku sudah lama mati.

  Berbulan lamanya aku menahan perasaan ini dengan penuh sabar , sahabatku Assyaheeda! Senyumnya, lembut bicara yang terlontar dari dua ulas bibir yang merah itu, cahaya dari matanya yang bundar terus menghantui hari-hariku. Kerinduanku padanya seolah-olah terubat, bila petang itu ummi Assyaheeda menziarahiku. Kedatangannya mendamaikan perasaan yang kucar-kacir ini, memulih semula semangatku yang terbang pergi. Akhir pertemuan di petang syahdu itu, ummi menghulurkan buku kecil berwarna biru itu.

 Ya, buku kesayangan Assyaheeda yang teristimewa.

Kekasih,
Jiwa ini seakan-akan hendak punah,
Malamku akan sepi tanpaMu,
Siangku akan pudar warnanya tanpa redhoMu.


Kekasih,
Tak terdaya lagi serasanya,
Jiwaku seakan hendak pecah,
Rinduku padaMu membuak-buak,
Panas dan membakar setiap nafas yang kuhirup,
Aku rindu!
Rindu padaMu,

Kekasih,
Izinkan masa terhenti,
Supaya pertemuan kita akan terjadi…

Assyaheeda, sahabat yang paling aku kasihi. Kisahmu akan aku khabarkan kepada mereka di luar sana. Muslimah yang terlalu rindu kepada Kekasihnya hingga mati kerana gila!

P/s: Macam mana? Seronok tak cerita ni? Apa iktibar yang antum boleh dapat? Apa yang ana boleh ulas, bagusnya Assyaheeda ni… Ana menggambarkan yang dia ni mesti seorang yang amat sejuk mata memandang. Percaya tak? Kadang-kadang apabila kita tengok muka seseorang tu, hati kita yang tadinya resah dan rasa nak marah kat sesiapa je, tiba-tiba sejuk bila tengok muka orang tu. Yang penting, solehahnya dia dan betapa tabahnya dia menanggung kesakitan seorang diri. Ana rasa, mesti buku biru milik dia tu tempat untuk dia meluahkan segala isi hatinya. Antum pun mesti fikir macam tukan? Tapi, yang ana musykilkan adalah asbab dia meninggal. Hmm, cuba baca perenggan terakhir tu. Mati kerana gila? Erk, musykillah pulak. Apa-apa pun, semoga kita dapat mengambil iktibar dari kisah ini betapa Assyaheeda ni sangat mencintai ALLAH dan mengabdikan dirinya hanya semata-mata keranaNya. InshALLAH…

WALLAHHU A’LAM~

Sumber: klik sini 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

| A Caliph's Journey | Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal

Winking Line Smiley