Friday, October 29, 2010

Tiada Kekuatan Selain ALLAH

'"La haula Wa la Quwata Illa Billah Hil Aliyil 'Azim."

"Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia."

Berzikirlah selalu kerana ia adalah salah satu cara untuk kita menghubungkan diri kita dengan Allah, di samping itu, cara ini jugalah yang akan menjadikan hati manusia lembut. Sedangkan Saidina Umar (r.a.) memeluk islam dengan mendengar adiknya sendiri berzikir (membaca surah Taha), padahal sebelum ini, beliaulah seorang yang paling kuat menentang ajaran agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W).

Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah (s.w.t).

Malahan kuasa tersebut dikurniakan oleh Allah (s.w.t), bukan untuk kita kufur kepadaNya, tetapi untuk kita lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Selemah-lemah manusia, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, kecuali dengan kehendak Allah semata-mata. Jika Allah tidak mahu ia berlaku, ia mustahil akan berlaku. Tetapi apabila Allah (s.w.t) menyebut 'Kun', maka 'Yakun' lah apa yang dikehendaki-Nya.

Oleh itu, apa-apa pun perbuatan yang kita lakukan ataupun hendak kita lakukan, mestilah bersandarkan konsep zikir ini. Malahan, ayat ini juga boleh menjadikan motivasi untuk kita mencapai kejayaan. Tetapi mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh. InsyaAllah, walaupun kita rasa mustahil akan berlaku, ia akan berlaku.

Jadikanlah zikir ini sebagai nyanyian mulut kita setiap hari, terutamanya dikala waktu kesusahan menimpa diri. Kerana apabila manusia terus-menerus mengingati Allah (s.w.t.) sewaktu dalam kesusahan, maka mereka tidak akan sekali-kali berputus asa kerana yakin atas apa yang Allah takdirkan.

Sama-samalah kita menggunakan zikir-zikir dan ayat-ayat al-Quran sebagai motivasi kita dalam kehidupan.




ALLAH... Kuakui tiada kekuatan lain yang Maha Dahsyat melainkan Engkau, tuhan pencipta alam ini... Kuakui juga bahawa setiap perkara yang Engkau jadikan ada hikmah yang tersirat dan sudah semestinya terbaik untuk penerimanya... Kuakui juga bahawa hanyalah Engkaulah tempat terbaik untukku sandarkan harapan bagi mendengar segala rintihan dan sebaik-baik tempat untukku mengadu...

Akan tetapi ya ALLAH, kuakui diri ini tidak mampu untuk menempuhi dugaan dan cabaran serta ujian yang ditimpakan kepada diri yang hina ini... Kuakui juga hati ini ini sangat lemah untuk menerimanya... Kuakui juga bahawa langkahku longlai dalam mengatur gerak seterusnya...

Haruskah?
Wajarkah?
Patutkah?

Bagi diri ini mempersoalkan kembali segala ketentuanMu?

Kenapa diriku???

Memang...
Memang hamba yang tak tahu untung...
Jadi, kumohon padaMu ya ALLAH... Kurayu... Ku harap... Kudamba, dengan serendah-rendahnya diri ini, ya ALLAH... Bimbinglah diri dalam meniti kehidupan yang mendatang. Tabahkan hatiku menghadapi segala qadha' dan qadarMu... Ampuni segala dosaku... Astaghfirullah...

Hatiku Berkata Padamu...

Pabila hatiku berkata padamu,
Cantiknya wajahmu,
Kakimu,
Lentiknya jemarimu,
Manisnya bibirmu,
Redup dan tajamnya jelinganmu,
Merahnya pipimu,
Mancungnya hidungmu,

Apa reaksi dirimu?

Apa pandangan Tuhamu?

Pabila hatiku berkata padamu,
Cantiknya potongan tubuhmu,
Apa pula getus hatimu?
Apa pandangan Tuhamu?

Pabila hatiku berkata padamu,
Ikalnya,
Mengurainya rambutmu,
Apa pula bisik hatimu?
Apa pandangan Tuhamu?

Pabila hatiku berkata padamu,
Menariknya cara dudukmu,
Langkahanmu,
Apa pula komentar hatimu?

Apa pandangan Tuhamu?


Pabila hatiku berkata padamu,
Lunaknya,
Gemersiknya,
Merdunya suaramu menusuk kalbuku,
Apa pula cetus nadamu?

Apa pandangan Tuhanmu?

Dan pabila istighfarku beradu,
Apa ada kesal di hatimu,
Apa ada sesal di kalbumu,
Apa ada resah di dadamu,
Apa ada gelisah di mindamu,

Jika itu ketersengajaanmu,
Jika itu godaanmu buatku,
Jika itu tarikan magnetmu,
Jika itu strategi menjatuhkan daku,
Jika itu racun membunuhku.

Maka Sifat Maha buat Tuhanku,
Pengampun,
Penyayang,
Lemah lembut,
Jika tundukmu "taubah".

Maha Kasar tindakan,
Maha Keras hukuman,
Jika jalanmu songsang.

Namun,
Tentu.....bahkan....sememangnya,
Maha Adil itu,
Sifat Tuhan.

Thursday, October 28, 2010

D.O.S.A yang TERPAKSA???

Percaya atau tidak,dalam dunia ini ramai orang yang 'terpaksa' melakukan dosa. Bukan dosa darurat kerana dia sememangnya punyai pilihan samada untuk meninggalkan atau bergelumang dengan dosa itu. Sebaliknya, dia 'terpaksa' dalam erti kata lain, dia tidak mampu menghalang dirinya daripada meninggakan terus maksiat itu.

Inilah masalah yang seringkali terlepas pandang oleh para pendakwah muda khususnya. Orang muda, sifatnya lebih mudah menghukum. Kurang rasionalnya, kurang timbang rasanya.

Bayangkanlah, seseorang yang sudah bertahun-tahun berenak-enak dengan suatu dosa, pasti teramat sukar baginya untuk meninggalkan dosa itu.

Sebagai contoh, seseorang anak muda yang sejak usianya belasan sudah pandai clubbing dan kini sudah 30-an, pasti sukar baginya untuk menghentikan tabiat buruk itu. Makanya, kita tidak boleh menghukum terus sebaliknya kita boleh 'meringankan' dosanya.

Bagaimana?

Jika kita buka surah Yusuf ayat 9 dan 10, kita lihat bagaimana anak-anak Nabi Ya'akob merancang untuk membunuh adik mereka (Nabi Yusuf). Lalu timbul persoalan, anak-anak seorang rasul pun mahu membunuh saudara kandungnya? Ayahnya tidak mendidik merekakah?

Maka jika kita lihat sekali lagi, jelas rancangan asal mereka ialah untuk membunuh tapi bangun seorang yang paling tua dalam kalangan mereka mencadangkan agar Yusuf tidak dibunuh, sebaliknya sekadar dibiarkan di dalam perigi, moga-moga ada orang musafir yang mengutipnya.

Di sini kita memerhatikan dua pengajaran...

Pertama, hasad dan dengki akan membuatkan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan musuh. Demikianlah yang terjadi kepada adik-beradik Nabi Yusuf a.s yang cemburu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh bapa mereka, Nabi Yaakub kepada Nabi Yusuf a.s berbanding dengan orang lain.

Kedua, orang yang ditarbiyyah. Jika dia 'terpaksa' melakukan sesuatu dosa kerana sudah dikuasai nafsu dan syaitan, dia pasti akan melakukan dosa itu dengan mengambil dosa yang paling sedikit kesannya.

Dalam keadaan masyarakat masa kini,untuk kita lari dan tinggalkan 100% dosa silam, itu adalah sesuatu yang sukar melainkan jika Allah mengkehendakinya begitu. Yang pasti, ramai dalam kalangan kita sudah punya hidayah tapi belum dikurniakan taufik. Ramai yang sudah diberi kesedaran (hidayah) tapi tak ramai yang diberi kekuatan (taufiq) untuk melakukan kebaikan seperti yang hati kecilnya mahu.

Hal ini dibuktikan dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 7 bahawa fitrah manusia, tidak kisah sejahat manapun dia, dia cenderung kepada keimanan dan membenci kepada kekufuran dan dosa. Kita boleh tipu orang lain, tapi kita takkan boleh tipu diri kita. Kita mahu mengenal Allah. Kita mahu menjadi pemuda yang dekat dengan masjid. Kita mahu jadi orang yang baik. Tapi kadangkala kita terlalu ego untuk mengaku bahawa kita mahu berubah.

Maka,di situ lah peranan da'ei sebagai penyeru dan bukannya penghukum. Apa yang terjadi, jika kita mudah menghukum orang lain ,maka hati kecil yang nak berubah ini terus tertutup dek kecewa dengan sikap orang-orang berkopiah ini. Apakah ini yang dinamakan jenayah kopiah putih?

Saya faham...
Maka,saya sama sekali tidak pernah menyalahkan mana-mana orang yang bermaksiat. Cuma yang saya marahkan ialah maksiat itu, bukan pelakunya. Saya tahu, untuk mengelakkan maksiat itu bukannya mudah. Kerana itu, para ulama dalam menafsirkan bentuk-bentuk sabar, mereka meletakkan sabar dalam meninggalkan maksiat sebagai sabar yang paling tinggi tarafnya.

Susah nak tinggal kebiasaan jahat kita,tapi ia boleh. Apa yang perlu, ialah azam dan keinginan yang kuat untuk berubah. Jika hari ini kita buat maksiat 5 kali, mungkin minggu depan kita buat 4 kali. Sedikit demi sedikit, kita kurangkan. Terus menerus kita kurangkan dan insyaAllah kita boleh tinggalkan terus! Yakinlah! Dan, jadilah manusia yang bijak yang mengurangkan impak dosa.

Kesimpulan
Saya mahu mengajak anda supaya memasang niat untuk meninggalkan terus maksiat. Saya pasti anda bukan malaikat, tak boleh lari daripada melakukan dosa sama seperti saya juga. Maka kerana itulah, jika tak tahan juga nak buat dosa, pilihlah dosa yang kecil dan bertaubatlah selepas itu. Taubat, moga-moga timbul kesal dan insaf. Dan paling penting, jangan sesekali kita berbangga-bangga (heboh-hebohkan) dengan perbuatan dosa itudan jangan pula kita mengajak orang lain untuk turut sama melakukan dosa.

Wallahhu ta'ala a'lam...

Wednesday, October 27, 2010

"T.O.R.A" Datang Lagi...


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته ومغفرة ورضوان


"T.O.R.A" Datang Lagi...??? Mesti persoalan pertama atau perkara pertama yang muncul dalam otak sahabat-sahabat adalah:


  • Apakah???
  • Kenapa dengan budak ni???
  • Eei, tak matured langsung...
  • Uit!!! Takde tajuk lain ke nak bagi??? Hua3!!! (nada gelak kejam)

Alkisahnye, saje je ana bagi tajuk ni. Kalau ana imbas balik kenangan masa kecik2 dulu... Nampak je iklan ni, mesti kata kat emak,

"Emak, akak nak beli benda macam dalam iklan tu..."

(Tak tahula betul ke cakap macam tu. Hmm, tak kisahlah...) Bila kenang-kenangkan balik, barulah datangnya perasaan rindu nak kembali ke zaman budak-budak dulu. Bukan apa, kalau ingat-ingat balik. Hidup ni macam kita yang punya. Bukan macam, memang pun... Boleh pergi ke sana ke sini. Bebas bermain kat mana-mana pun. Senang kata, tak risau pasal apa-apa pun. Hidup ni terasa indah je... (rindu sangat2...)

Sebenarnya, ana bukanlah berniat nak cerita pasal tora ke atau masa "muda-muda" dulu. Bahkan lebih nak cakap pasal satu benda ni... Benda ni memang wajib dihadapi bagi sesiapa sahaja yang memegang title "PELAJAR". Tak lain dan tak bukan adalah...


P.E.P.E.R.I.K.S.A.A.N

Wah, danger2!!!
Run for your life...!


Subjek
Tarikh
Bahasa Inggeris
01 November 2010
Bahasa Arab
02 November 2010
Pengajian Agama 1
11 November 2010
Pengajian Agama 2
15 November 2010
inilah jadualnya...

Jadi, sahabat-sahabat. Macam mana? Dah bersedia ke nak hadapi peperiksaan akhir bagi program foundation ni? Harap-harap ye... Macam-macam cara sebenarnya nak hadapi peperiksaan ni... Sahabat-sahabat, boleh klik link bawah ni untuk maklumat lebih lanjut;

Tips Menghadapi Peperiksaan

Melalui link ni, kita boleh lihat banyak tips untuk menghadapi peperiksaan sama ada persiapan dari sudut mental, emosi, fizikal dsb. Ana lebih tertarik untuk membicarakan tips menghadapi peperiksaan dari sudut rohani. Badan kita memerlukan makanan untuk kelangsungan hidup. Begitu juga dengan ruh kita. Ruh kita memerlukan "makanan"nya yang tersendiri untuk terus "hidup". Selalunya, masa nak dekat exam ni, ramai yang mengabaikan sudut rohani, ramai yang lebih kepada persiapan diri. Bukan nak cakap orang lain, ana pun sama je...

PERSEDIAAN ROHANI  


Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu.  Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah  lah yang menentukannya.  Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini. 

                        Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah: 
1.Sentiasa bermunajat kepada Allah.  Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaanMinta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.
 
2.Minta restu kedua ibu bapa.  Doa ibu bapa untuk anakny sangat makbul.  Jadi mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.
 
3.Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran.  Hati yang  banyak berzikir akan memperolehi ketenangan.  Hati juga  lebih terang apabila anda sering membaca al-Quran.
Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra’ad, ayat 36, yang mafhumnya;

“Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati”. 
  
4.Jauhi maksiat.  Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar.  Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah.  Hidup juga tidak diberkati Allah.  

                       5.Banyakkan berdoa.  Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.   


Sebelum terlambat, ana ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan buat semua sahabat terutamanya sahabat-sahabat seperjuangan Pengajian Agama (F3L & F3M) IPSAH. Teruskan mujahadah antum ke medan jihad peperiksaan. Tasji'! Chaiyok2! Gambatteyo! Aja2 fighting! Ingat, sem ni sem penentu bagi kita sebelum masuk degree next year. Wah, dah makin bertambah tuala diri ni... Sudah tentu, makin bertambah lagi tanggungjawab kita... Sem 3 foundation ni makin hampir melabuhkan tirainya. Hmm... La ba'sa. Tanamkan semangat, pasakkan tekad! Anda mampu mengubahnya...

Salam sayang dan salam falah dari ana...
 

Monday, October 25, 2010

Pilihlah dengan Pilihan ALLAH...


Maksud firman Allah SWT :

"...Barang siapa yang bertawakal kepada Allah tentu diadakanNya jalan keluar baginya, dan memberinya rezki dari pintu yang tidak diduga-duga olehnya. Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Tuhan akan mencukupkan keperluannya. Bahkan sesungguhNya Allah pelaksana semua peraturanNya. Dan Allah juga telah menjadikan segala-galanya serba berukuran "
(At-Talaq : 2 - 3)

Maha suci Allah, Tuhan sekalian alam, Pencipta Agung Pentadbir Semesta, ucapkanlah syukur, ungkapkanlah puji, tiada ruginya merperhambakan diri kepada tuhan. Baginda junjungan, sosok agung, peribadi mulia, Muhammad Rasulullah, hiasilah hari-hari dengan selawat dan salam buat kekasih tercinta.

Keizinan dari Allah diperoleh lagi untuk saya menarikan jemari di Wadi al Qurra', Alhamdulillah. Melihat kepada kehidupan sebagai manusia, sahabat-sahabat sekalian, kepada saya sendiri terutamanya, ia berkitar tentang pelbagai perkara, dan setiap perkara itulah yang bakal mentarbiah diri untuk lebih bersedia dengan hari-hari muka. Pendidikan kehidupan ini adalah tarbiah yang tidak langsung dari Allah, adakalanya ia sangat seronok, adakalanya ia sangat memilukan, adakalanya ia amat mengelirukan sehingga membuat kita buntu.

Dalam meniti pelbagai ragam kehidupan, ada masanya ia menuntut untuk kita membuat pilihan. Saya senang hati mengatakan sememangnya hidup ini kitarannya tidak lari daripada menuntut kita untuk membuat pilihan, dengan pilihan itulah yang bakal membuat kita sedih, gembira, atau bertambah keliru. Hidup ini adalah pilihan, bagaimana kita mahu hidup, dengan suka, duka atau lainnya, yang memilihnya adalah diri sendiri. Berbicara soal pilihan, adakalanya ia hanya untuk diri sendiri, ada masanya ia perlu melibatkan yang lain, ikutlah situasi, dan pertimbangkanlah sebaiknya.

Qurra' yang dikasihi,
Segala permasalahan manusia, soal pilihan atau apa saja, jika hanya difikirkan dengan akal, ilmu dan perasaan semata tanpa meletakkan tuhan ditempatnya, maka tunggulah masanya untuk merasa kesalnya. Sebagai muslim, bagi membuat satu-satu pilihan, ia bukan sekadar bergantung kepada kebijakan, tetapi lebih utama lagi adalah panduan Allah. Saya yakin terhadap sahabat saya sekaliannya, semua pasti tahu bahawa mengharapkan pandangan Allah itulah yang utama, itulah sebabnya perkataan ISTIKHARAH tidak lekang di bibir kita.


Namun, suka untuk saya membahagikan beberapa situasi yang sering kita hadapi tatkala perkataan ISTIKHARAH masih tidak lekang dibibir :
 
1.   Membuat istikharah dalam keadaan betul-betul mengharap, mendapat petunjuk dan mengikutinya dengan keyakinan yang penuh, merealisasikan ayat FAIZA AZAMTA, FATAWAKKAL 'ALALLAH!, setelah mendapat keyakinan teguhkan pendirian dan bertawakkallah kepada Allah. Jika istikharah, inilah yang sepatutnya dilakukan, jangan diragukan petunjuk Allah, telah dilorongkan kita terhadap sesuatu, maka ambillah, jangan biar nafsu dan perasaan menguasai.
2.   Membuat istikharah dalam keadaan betul-betul mengharap, akhirnya diberi satu petunjuk, tetapi tidak sesuai dengan apa yang kita mahu, maka kita mengenepikan ia. Inilah yang bakal menimbulkan kecelakaan yang besar, memohon petunjuknya, tetapi mudah-mudah saja menolak keputusan dari Allah kerna hati tidak suka terhadap perkara yg ditunjukkan, jadi apa gunanya beristikharah, adakah ia sekadar penyedap kata, bila ditanya org, boleh lah menjawab, ya, saya sudah istikharah!
3.   Membuat istikharah dalam keadaan mahu tidak mahu, hanya pelengkap syarat saja. Maka jika ini yang dilakukan, jadi apa kita sangka Petunjuk Allah sesuatu barang ciciran yang boleh diperoleh di tepian jalan? Usahlah bersusah payah jika ini keadaannya.
4.   Membuat istikharah sedangkan sudah cenderung benar terhadap sesuatu, nafsu dan perasaan sudah pun mengatakan ya pada awalnya lagi, maka natijahnya nanti biasanya akan sesuailah dengan nafsu dan gelojak perasaan semata. Maksudnya disini, membuat istikharah tetapi tidak mengharap sepenuhnya pada Allah, maka keputusan yang diperoleh nanti hanyalah mengikut apa yg dimahukan nafsu dan perasaan semata.
5.   Membuat istikharah dan diberikan petunjuk, cumanya hati masih ragu, maka cubalah ulangi istikharah itu agar hati benar-benar mantap, pintalah keyakinan dengan sebenar-benarnya, jangan ragu lagi selepas itu, jangan biarkan kita salah seorang yang menolak hidayah Allah!
 
Saya sengaja meletakkan beberapa situasi seperti di atas, ia berdasarkan pengalaman sendiri dan pegalaman sahabat yang lain. Itulah hakikatnya manusia, berbeza-beza. Tidak perlu untuk saya lanjutkan dengan mengulas lebih panjang terhadap situasi yang telah disenaraikan, semua sudah arif benar rasanya untuk menilai yang mana satu cara sebetulnya bila mahu istikharah.

Sahabat yang dikasihi,

          Setelah istikharah, ramai benar yang mahu menunggu mimpi, saya ingin tegaskan bahawa petunjuk, ilham atau apa pun namanya bukan hanya datang melalui mimpi. Ada perlunya untuk kita bermusyawarah dengan mereka yang lebih arif, lebih berpengalaman, terhadap masalah yang dihadapi, lihatlah pendapat mereka secara keseluruhannya, tapislah yang terbaik dan jadikanlah ia sebagai pelengkap keyakinan, sesungguhnya petunjuk dan ilham dari Allah boleh juga datang dalam bentuk musyawarah atau perbincangan.

Kepastian dan keyakinan yang timbul di dalam hati juga adalah bentuk ilham serta petunjuk Allah. Ia akan membuatkan kita berasa yakin dalam membuat sesuatu keputusan, carilah keyakinan dan kepastian itu. Selain itu, petunjuk dan ilham dari Allah juga datang dalam bentuk keadaan serta suasana, dalam keadaan tidak disangka, dihadirkan kita dengan satu keadaan, memandu kita ke arah sesuatu, memudahkan bukan menyusahkan, maka itu jua salah satu cara Allah membantu hambaNya membuat pilihan.

Sebenarnya ramai di antara kita yg suka memohon petunjuk, istikharah dan sebagainya, namun ada suatu masalah yang timbul, kita tidak sedar hadirnya petunjuk itu akibat daripada masalah hati dan dosa. Allah telah membuka ruang yang luas untuk kita, memberi petunjuk yang jelas, tetapi hati kita sukar mentafsir, gelap, tidak mampu membaca, melihat saja petunjuk itu berlalu pergi, alangkah meruginya jika ini yang terjadi. Pohonlah jua kepada Allah untuk menjernihkan hati, agar senang dan mudah memahami. Jika sudah nampak, jangan pula biarkan, kita mesti menyahutnya.

Maksud firman Allah SWT :
"Katakanlah : Aku berlindung kepada tuhan (yang mengusai dan memelihara) manusia, raja manusia, sembahan manusia, dari kejahatan bisikan was-was pembisik (syaitan) yang biasa bersembunyi"
(An-Nas : 1 - 4)

Jika benar istikharah kita, jangan bicara soal keraguan, kerna keraguan itu datangnya dari syaitan, jika hati masih ragu, berasa tidak enak, timbul masalah masalah yang lain pula, maka ada baiknya untuk menilai kembali, kerna pasti ada sesuatu yang tidak kena. Kadang-kadang kita merasakan apa yang diputuskan itu telah benar sekali, apatah lagi setelah istikharah, cumanya rasa benar itu bukan datang dari Allah, cuma dari nafsu dan perasaan, maka akan adalah lanjutannya dengan rasa tidak kena, timbul hal-hal yang kurang sesuai berlaku, maka ini juga caranya Allah mahu mengingatkan kita sebenarnya. Janganlah menyamakan antara keputusan mainan perasaan dengan keputusan dari Allah, ia amat berbeza, yang datang dari perasaan cuma pasti akan menambah keliru, tetapi jika ia benar-benar datang dari Allah, maka ia pasti akan lancar saja dan tiada lagi rasa tidak kenanya, hati akan tenang, insyaAllah.

Maksud firman Allah SWT :
"Dan aku akan benar-benar menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka.."
(An-Nisa' : 119)

J.O.D.O.H K.I.T.A...

Pada suatu hari, Saya bertanya kepada emak, "Mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? "Mak jawab, "dua-dua bukan.." Saya tercengang..Mak mengukir senyuman.

"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam."Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya."Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.

"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. " mak menyusun ayat-ayatnya."Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "Tak faham.."Mak menyambung "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.." Mak menyambung lagi,"begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..

Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi.Emak buat-buat tidak nampak. 

Secret Admire

"Kakak, mak dulu masa remaja ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat ..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh. .lama budak tu tunggu mak..Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak..

Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu." Mak merenung jauh.Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

"Mak memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil."Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu..Mak takut pada Allah.

Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.."Mak, seperti kakak.." mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya.kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

"Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazahnya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya... Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.

Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.."emak melemparkan pandangan ke lantai. "Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.

Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu. 

"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama da tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat. “Duhai anak…” Mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?

"Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya..Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya. Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu, kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain… Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya." emak berhenti seketika..
Bukan luar biasa... Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. 

"Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa..Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.."

"Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. "

Redha

"Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak..Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. "

Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri. Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.
"Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara.."

Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya...

Friday, October 22, 2010

Kisah Tasbih FATIMAH

Saidatina Fatimah r.ha biasa menggunakan pengisar untuk mengisar gandum sehingga menyebabkan tangan beliau melecet. Beliau juga selalu mengangkut air ke rumahnya di dalam sebuah beg kulit sehingga menyebabkan bahu beliau berparut. Beliau juga sibuk membersihkan rumah sehingga pakaiannya menjadi kotor.

Suaminya Saidina Ali r.a berasa sangat kasihan kepada isterinya lalu memberi cadangan supaya Fatimah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w untuk memberikan seorang hamba untuk membantunya. Tambahan pula ketika itu tawanan perang telah dihantar ke Madinah.

Lalu Fatimah r.ha pun pergi ke rumah Rasulullah s.a.w, tetapi ketika itu ramai tetamu di rumah baginda. Oleh kerana beliau adalah seorang yang bersopan-santun, Saidatina Fatimah pun pulang ke rumah semula kerana tidak berani berjumpa dengan ayahnya di hadapan khalayak ramai.

Pada keesokkan harinya, Rasulullah s.a.w telah datang ke rumah Fatimah dan bersabda “Fatimah! Apakah sebab dikau datang ke rumahku kelmarin?”. Fatimah berasa malu dan mendiamkan diri. Lalu Saidina Ali pun berkata;

“Wahai Rasulullah s.a.w.. Tangan Fatimah telah melecet dan bahunya telah berparut kerana sibuk mengisar gandum dan mengangkut air bersendirian. Beliau juga sibuk mencuci rumah sehingga menyebabkan pakaiannya menjadi kotor. Aku memberi tahunya mengenai tawanan perang dan mencadangkan supaya bertemumu untuk memberikan seorang pembantu untuk membantunya membuat kerja”.

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda:

“Takutlah kepada Allah wahai Fatimah. Perolehilah taqwa dan teruskanlah urusan kerja rumah tanggamu wahai Fatimah. Sebelum engkau tidur, ucaplah “‘Subhanallah” 33 kali, “Alhamdulillah” 33 kali dan “Allahu Akhbar” 34 kali. Dan kau akan dapati, ianya lebih berguna dari seorang pembantu”.

Fatimah r.ha menjawab : “Aku berpuas hati dengan Allah dan Rasul-Nya”

Tasbih Fatimah : “Subhanallah” 33 kali, “Alhamdulillah” 33 kali dan “Allahu Akhbar” 34 kali.

TIP SUNNAH : Sebelum tidur baca 3 Qul, selawat atas nabi, ucapkan tasbih Fatimah. Hembuskan ke tapak tangan dan sapu ke seluruh badan. InsyaAllah dilindungi Allah s.w.t..
Selamat Beramal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

| A Caliph's Journey | Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal

Winking Line Smiley